Categorized | Informasi

Bagaimana Pilihan Raya Dilaksanakan?

1. PEMBUBARAN DEWAN

Apabila Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, SPR akan menerima pemakluman rasmi oleh Yang DiPertua Dewan atau Speaker kepada SPR. Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

2. PERSIAPAN

Bagi tujuan menetapkan tarikh pengeluaran writ, tarikh notis, tarikh penamaan calon, pengeluaran undi pos, pengundian awal dan tarikh pengundian, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas yang dihadiri oleh semua anggota SPR.

Apabila tarikh-tarikh tersebut telah ditetapkan, SPR akan mengumumkannya melalui media massa. Seterusnya, writ atau surat kuasa akan diserahkan kepada semua Pegawai Pengurus yang dilantik untuk menguruskan pilihan raya di bahagian-bahagian pilihan raya di mana mereka dilantik. Kebiasaannya, mereka yang dilantik adalah dalam kalangan Pegawai-Pegawai Daerah atau Yang DiPertua Majlis-Majlis Daerah. Pemilihan mereka disebabkan keupayaan mereka mengawal jentera-jentera jabatan/agensi kerajaan di peringkat daerah atau di bawah kawasan pentadbiran mereka.

SPR akan mengeluarkan Notis memaklumkan tarikh, masa dan tempat penamaan calon serta mempelawa mereka yang berminat untuk bertanding supaya menyerahkan pencalonan mereka pada tarikh, masa dan Pusat Penamaan Calon yang ditetapkan.

Sebaik sahaja tarikh-tarikh ini diumumkan, SPR akan mengadakan Mesyuarat Penyelarasan dengan semua wakil kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta di peringkat pusat untuk mendapatkan kerjasama mereka dalam membantu SPR menjalankan pilihan raya.

Sementara menunggu hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan mengadakan mesyuarat penyelarasan di peringkat bahagian pilihan raya masing-masing dengan semua wakil jabatan/agensi kerajaan dan swasta bagi mendapatkan bantuan dan kerjsama mereka dalam pengendalian urusan pilihan raya yang bakal diadakan. Pegawai-Pegawai Pengurus turut melantik dan melatih petugas-petugas yang akan melaksanakan urusan pilihan raya di Pusat-Pusat Mengundi.

3. PENAMAAN CALON

Apabila tiba hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan menerima kertas penamaan calon dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu dari jam 9.00 pagi hingga jam 10.00 pagi. Dalam PRU Ke-13 akan datang, urusan pameran dan bantahan ke atas kertas penamaan calon tidak lagi diadakan. Selain itu, penarikan pencalonan oleh calon juga tidak dibenarkan. Pegawai Pengurus akan memeriksa kelayakan calon dan kesempurnaan kertas penamaan calon dan memuktamadkannya selepas jam 10.00 pagi. Selepas itu, Pegawai Pengurus akan mengumumkan sama ada terdapat pertandingan di bahagian pilihan raya berkenaan. Sekiranya terdapat pertandingan, Pegawai Pengurus akan mengumumkan nama calon-calon yang akan bertanding serta tarikh-tarikh pengundian.

4. TEMPOH BERKEMPEN

Kempen adalah medium untuk memperkenalkan calon, manifesto parti serta pelan perancangan partinya untuk bahagian pilihan raya di mana beliau bertanding. Tempoh berkempen bermula dari pengumuman pertandingan oleh Pegawai Pengurus pada hari penamaan calon dan berakhir jam 12.00 malam sebelum hari pengundian. Bagi tujuan memastikan kempen dilaksanakan secara aman dan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, SPR telah menubuhkan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh ejen-ejen calon/parti politik yang bertanding.

Kempen boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara bagi menarik perhatian pengundi tentang kelebihan sesuatu parti atau calon yang bertanding. Tugas PP-KPR adalah bagi memastikan semua jenis medium kempen sama ada secara bersemuka atau melalui bahan kempen tidak menyalahi undang-undang seperti menyentuh sensitiviti perkauman atau menjejaskan perpaduan dan mencetuskan permusuhan dalam masyarakat. Keputusan PP-KPR untuk mengenakan tindakan terhadap sesuatu ceramah atau bahan kempen dilakukan secara bersama oleh semua ahli PP-KPR termasuk wakil-wakil calon dalam pasukan tersebut.

5. HARI PENGUNDIAN

Kebiasannya, bangunan sekolah akan dijadikan sebagai Pusat Mengundi dan bilik-bilik darjah akan dijadikan sebagai Tempat Mengundi. Kawasan sekitar 50 meter daripada pagar sekolah adalah zon larangan kecuali bagi pengundi dan para petugas. Zon larangan ini disediakan bagi memberikan keselesaan kepada para pengundi. Selain pihak polis yang menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan pengundi, petugas-petugas yang dibenarkan berada dalam Pusat Mengundi adalah Penyelia Pusat Mengundi, Pemandu Arah Pusat Mengundi dan Kerani-Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Mereka ini bertugas di luar bilik darjah dengan cara membantu pengundi-pengundi menyemak  lokasi Tempat Mengundi mereka, menunjukkan lokasi tersebut selain membantu mereka yang uzur dan kurang upaya. Di dalam Tempat Mengundi (bilik darjah) pula, Ketua Tempat Mengundi dan kerani0kerani pengundian ditugaskan melaksanakan proses pengundian.

Semasa hari pengundian, semua petugas dikehendaki datang awal bagi mempersiapkan Tempat Mengundi. Ejen-ejen yang dilantik oleh calon juga dibenarkan masuk awal ke Tempat Mengundi. Perana ejen adalah bagi memerhatikan perjalanan pengundian. Sebelum Tempat Mengundi dibuka, Ketua Tempat Mengundi akan menutup dan memeteraikan peti undi di hadapan ejen-ejen yang hadir. Pada jam 7.50 pagi, Pusat Mengundi akan dibuka dan para pengundi bolehlah menyemak lokasi Tempat Mengundi mereka di Barung Semakan SPR. Selepas itu, mereka bolehlah terus ke Tempat Mengundi masing-masing dan beratur di luar Tempat Mengundi tersebut.

Sebelum pengundian berlangsung, Ketua Tempat Mengundi akan mengisi butiran buku kertas undi ke dalam Borang 13. Butiran yang diisikan adalah butiran Tempat Mengundi dan Pusat Mengundi selain bilangan serta nombor siri kertas undi yang akan digunakan. Ia merupakan satu prosedur standard bertujuan memastikan kesahihan bilangan kertas undi yang akan diguna pakai dengan kertas undi yang rosak atau tidak dikembalikan. Ejen-ejen calon juga dibenarkan untuk memeriksa kandungan Borang 13 ini. Sejurus sebelum pengundian dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas kepada kerani-kerani pengundian dan ejen calon tentang perjalanan pengundian dan perkara-perkara yang dibolehkan dan tidak boleh dilakukan sepanjang proses tersebut.

6. PROSES PENGUNDIAN

Sebaik jam 8.00 pagi Tempat Mengundi akan dibuka dan pengundi akan dibenarkan masuk. Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pengundi adalah menyerahkan kad pengenalan dan slip semakan kepada Kerani Pengundian Pertama. Kerani akan menyemak nama pengundi dalam daftar pemilih dan memeriksa tangan pengundi sama ada terdapat sebarang tanda dakwat kekal. Sekiranya tiada, pengundi akan diminta bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Kerani Pengundian Kedua akan meminta pengundi meletakkan jari di atas pad yang disediakan untuk proses calitan dakwat kekal. Dakwat kekal dicalitkan di atas jari telunjuk tangan kiri pengundi daripada ruas jari pertama sehingga ke hujung jari. Sekiranya pengundi tiada jari telunjuk, dakwat kekal akan dicalit di mana-mana jari tangan kiri sebelum beralih ke jari telunjuk tangan kanan dan seterusnya mana-mana jari tangan kanan. Sekiranya pengundi tiada tangan, dakwat kekal akan dicalitkan di pangkal lengan di bahagian yang mudah dilihat.

Semua pengundi adalah diwajibkan untuk mencalit dakwat kekal di jari mereka. Kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada pengundi sekiranya:

  • Pengundi enggan menunjukkan tangannya untuk diperiksa oleh Kerani Pengundian Pertama;
  • Pengundi enggan jarinya dicalit dengan dakwat kekal;
  • Jari pengundi telah dicalit dengan dakwat kekal atau;
  • Nama pengundi telah ditandakan dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya, walaupun jarinya tiada tanda dakwat kekal.

Sesudah jari dicalit, Kerani Pengundian Pertama akan meneriak nombor siri, nombor kad pengenalan dan nama pengundi untuk disemak oleh ejen-ejen calon yang hadir. Untuk makluman pembaca, ejen-ejen calon akan hadir memerhatikan perjalanan proses pengundian daripada awal sehinggalah tamat proses pengiraan undi. Ejen-ejen calon turut menggunakan buku daftar pemilih yang sama dengan Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian dan Kerani Penyemak Daftar Pemilih.

Selepas nama diteriakkan, pengundi akan diberikan kertas undi oleh Kerani Pengundian Ketiga. Kertas undi ini dicapkan dengan tanda pengenalan Tempat Mengundi. Setelah menerima kertas undi, pengundi perlu beredar ke petak undi untuk menandakan kertas undinya. Pengundi perlu menandakan ‘X’ pada petak disebelah nama calon pilihannya. Seterusnya, kertas undi tersebut perlu dimasukkan ke dalam peti undi. Pengundi perlu segera beredar keluar daripada Tempat Mengundi sebaik sahaja memasukkan kertas undinya ke dalam peti undi. Proses ini akan terus berlangsung sehingga jam 5.00 petang iaitu masa Tempat Mengundi ditutup.

7. PROSES MENGIRA UNDI

Sebaik sahaja Tempat Mengundi ditutup, Ketua Tempat Mengundi akan menutup mulut peti undi, memeteraikannya dengan cara meletakkan perakat keselamatan. Penutupan peti undi akan dilakukan di hadapan ejen-ejen calon yang hadir.

Petugas-petugas pula akan bertindak menyusun semula Tempat Mengundi mengikut susunan proses pengiraan undi. Sebelum kiraan dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas berhubungan dengan proses pengiraan undi. Ketua Tempat Mengundi akan mengisi Borang 13 untuk merekodkan kertas undi yang dikeluarkan dan kertas undi yang rosak. Seterusnya ejen-ejen calon akan menandatangani Borang 13 tersebut. Proses pengiraan undi bermula dengan memotong ikatan penutup peti undi dan mengeluarkan kertas undi untuk dimasukkan ke dalam dulang ‘Undi Belum Dikira’. Kertas-kertas undi kemudiannya dikira dalam bilangan sepuluh dan diikat dalam bilangan seratus. Proses ini bertujuan mendapatkan bilangan sebenar jumlah kertas undi yang berada dalam peti undi untuk direkodkan ke dalam Borang 13. Sekiranya bilangan kertas undi adalah sama atau kurang, proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Sekiranya berlebihan daripada yang dinyatakan dalam Borang 13, Ketua Tempat Mengundi hendaklah mengambil tindakan seperti yang berikut:

  • memeriksa nombor siri kertas undi bagi memastikan hanya kertas undi dalam turutan nombor siri yang dinyatakan dalam Borang 13 sahaja berada dalam peti undi tersebut. Sekiranya, Ketua Tempat Mengundi menjumpai kertas undi tersebut perlulah diketepikan.
  • selain memeriksa nombor siri, Ketua Tempat Mengundi juga boleh memeriksa tanda cap pada kertas undi. Ini kerana cap yang digunakan bagi setiap Tempat Mengundi adalah unik.

Kemudian, barulah proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Proses ini dilakukan oleh kerani-kerani mengira undi dan dilakukan di hadapan ejen-ejen calon yang hadir. Proses pemaparan kertas undi adalah proses membuka dan memperlihatkan kertas undi kepada ejen-ejen calon yang hadir sebelum dimasukkan ke dalam dulang-dulang bersimbol calon mengikut tanda di atas kertas undi. Sekiranya terdapat kertas undi ragu, Ketua Tempat Mengundi akan memutuskannya mengikut Buku Panduan Memutuskan Undi Ragu dan keputusan Ketua Tempat Mengundi  adalah muktamad. Apabila selesai proses pemaparan ini, barulah kertas-kertas undi ini dikira mengikut dulang masing-masing. Bilangan kertas undi dalam setiap dulang akan dimaklumkan kepada Ketua Tempat Mengundi. Maklumat berkaitan bilangan undi yang diperoleh oleh setiap calon akan diisikan ke dalam Borang 14 (Borang Keputusan Undi Bagi Setiap Tempat Mengundi). Salinan Borang 14 yang telah lengkap diisi akan diberikan kepada ejen-ejen calon selepas mereka menandatangani borang tersebut. Ini bermaksud semua pihak mempunyai salinan keputusan yang sama.

Selepas itu, semua kertas undi akan dimasukkan ke dalam sampul-sampul, dimeterai dan dimasukkan ke dalam peti undi. Peti undi yang telah dimeterai akan di bawa ke Pusat  Penjumlahan Rasmi Undi untuk simpanan selamat. Borang 14 pula akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus untuk dijumlahkan dengan semua Tempat Mengundi lain dalam bahagian pilihan raya tersebut.

8. PENJUMLAHAN RASMI UNDI & PENGUMUMAN KEPUTUSAN

Setelah semua Borang 14 dijumlahkan, Pegawai Pengurus akan mengisikan keputusan yang diperoleh oleh setiap calon ke dalam Borang 16 (Borang Keputusan Pertandingan). Akhirnya, Pegawai Pengurus akan mengumumkan keputusan jumlah undi yang diperoleh oleh setiap calon dan calon yang mendapat jumlah undi terbanyak akan diisytiharkan sebagai pemenang bagi pertandingan tersebut yang seterusnya menjadi Wakil Rakyat bagi bahagian pilihan raya berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (Edisi Khas Pilihan Raya Umum Ke-13)

This post was written by:

- who has written 606 posts on Informasi.


Contact the author

Leave a Reply

:D :-) :( :o 8O :? 8) :lol: :x :P :oops: :cry: :evil: :twisted: :roll: :wink: :!: :?: :idea: :arrow: :| :mrgreen:

Related Sites