Categorized | Menarik

Sejarah Bukit China, Melaka

Bukit China yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka mewarisi peninggalan sejarah Negeri Melaka. Bukit China ialah sebuah bukit dalam kompleks Bukit Cina mengandungi 5 buah bukit, iaitu Bukit Tempurung, Bukit China, Bukit Tinggi, Bukit Tengah dan Bukit Gedong. Walaupun terdapat 5 buah bukit dalam kompleks Bukit China, namun hanya Bukit China yang disebut dalam sejarah.

Sejarah Melayu menceritakan bahawa Maharaja China ingin merapatkan hubungan dengan empayar Melaka, menghantar anaknya Puteri Hang Li Po dengan 500 orang dayang ke Melaka untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansor Shah (1457 – 1477). Baginda memilih salah sebuah bukit yang berhampiran dengan Bukit Melaka (kini, disebut Bukit St. Paul) bagi kediaman isterinya.

Di kaki bukit tersebut terdapat sebuah perigi untuk kegunaan isteri serta dayang-dayangnya yang dinamakan Perigi Raja atau Perigi Hang Li Po dan semenjak itu, bukit ini dikenali sebagai Bukit China. Perigi ini tidak pernah kering dan merupakan satu-satunya punca air semasa musim kemarau. Pihak Belanda membina tembok di sekelilingnya pada tahun 1677 untuk memeliharanya sebagai ‘perigi permintaan’ (wishing well).

Bukit China menjadi sasaran hampir semua penyerang Kota Melaka sebagai lokasi strategik untuk menakluki Kota Melaka daripada Portugis. Misalnya pada tahun 1528 – 1564, Sultan Alauddin Riayat Syah II dan para pengikutnya menggunakan Bukit China sebagai lokasi strategik untuk menyerang pertahanan Portugis di Bukit St. Paul. Johor, Acheh dan Belanda juga menggunakan bukit ini untuk melancarkan serangan ke atas Kota Melaka.

Replika Stadhuys di kaki Bukit China

Pada pertengahan kurun ke-17, Bukit China yang seluas 26 hektar dibeli oleh Li Kup @ Kapitan Li Wei King dan diserahkan kepada Tokong Hoon Teng untuk dijadikan tempat pengkebumian orang-orang Cina. Inilah permulaannya Bukit China menjadi tanah perkuburan orang-orang Cina di Kota Melaka. Semenjak itu hanya sekali sahaja Bukit China ini menjadi sasaran serangan, iaitu pada tahun 1784 apabila Raja Haji menyerang orang-orang Belanda. Raja Haji yang mendarat di Teluk Ketapang sendiri yang menawan Bukit Senjuang, Bukit China dan kemudiannya membedil Kota Melaka.

Sebagaimana namanya, bukit ini merupakan penempatan rasmi rombongan Cina yang tiba di Melaka bersama Puteri Hang Li Poh. Beliau dihantar ke Melaka oleh Maharaja Cina untuk dikahwinkan dengan Sultan sebagai mengeratkan hubungan diplomatik sehinggalah penjajahan Portugis pada tahun 1511. Hari ini Bukit China menempatkan tanah perkuburan Cina yang terbesar di luar negeri China iaitu banyak kuburan lama yang sezaman dengan dinasti Ming.

Perigi Hang Li Po di kaki Bukit China

Lagenda Bukit China

Pada suatu ketika dahulu, Melaka merupakan antara pusat perdagangan dan pelabuhan yang paling utama di rantau ini. Dan antara negara yang telah mengadakan hubungan perdagangan dengan Melaka ialah negara China. Walaupun Melaka hanyalah sebuah negeri kecil jika dibandingkan dengan China, namun itu bukanlah faktor yang menghalang hubungan yang baik antara Melaka dan China. Hubungan antara kedua-dua kuasa ini semakln erat apabila peminangan Sultan Mansur Syah untuk mengahwini Puteri Hang Li Po dipersetujui oleh Maharaja China.

Setelah segala persediaan diatur, maka tibalah Puteri Hang Li Po bersama dengan rombongan dari China. Rakyat Melaka terpegun dengan kecantikan Puteri Hang Li Po dan sambutan yang diberikan kepada rombongan dari China begitu meriah sekali. Tetapi oleh kerana rombongannya adalah terlalu ramai, maka timbul pula satu masalah untuk menempatkan rombongan dari China itu.

Masalah ini segera diatasi apabila Tun Perak yang terkenal dengan kecerdikannya telah mencadangkan sebuah bukit yang dikira begitu sesuai untuk rombongan dari China itu. Bukit itu terus diberi nama Bukit China dan sejak itu Bukit China tidak boleh dipisahkan daripada sejarah negeri Melaka.

Bukit China mempunyai kisah sejarah dan lagendanya. Di kaki bukitnya terdapat sebuah perigi yang dipanggil Perigi Sam Po. Perigi itu mendapat namanya daripada Laksamana China yang terkenal iaitu Laksamana Cheng Ho. Ada yang menyatakan apabila Laksamana Cheng Ho meminum air perigi itu, air tersebut terus menjadi bersih dan jernih. Dan ramai yang mempercayai jika sesiapa yang pernah meminum air perigi tersebut, pasti akan kembali semula ke Melaka, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Tidak kurang juga yang membaling duit ke dalam perigi tersebut sambil meminta permintaan mereka dikabulkan.

Sehingga hari ini Bukit China terus dikunjungi dan akan terus menjadi salah satu tapak sejarah yang penting di Melaka.

This post was written by:

- who has written 606 posts on Informasi.


Contact the author

One Response to “Sejarah Bukit China, Melaka”

  1. shima says:

    Sy nak tanya admin, admin ada contact person tak yg tau mengenai bukit cina ni ? Saya nak cari orang untuk interview history mengenai bukit cina ni . Kalau ada, please contact me a.s.a.p. bantuan anda amat2 diperlukan. ?0134537439-shima

    [Reply]

Trackbacks/Pingbacks


Leave a Reply

:D :-) :( :o 8O :? 8) :lol: :x :P :oops: :cry: :evil: :twisted: :roll: :wink: :!: :?: :idea: :arrow: :| :mrgreen:

Related Sites