Categorized | Isu Semasa

Sejarah Menara Condong Teluk Intan

Satu-satunya keistimewaan sejarah yang terdapat di bandar Teluk Intan ialah Menara Condong.

Terletak di suatu sudut Jalan Selat bersebelahan Jalan Pasar, seolah-olah merelakan kedudukannya di tengah bandar dan menjadi mercu tanda sejarah yang sudah berusia lebih satu abad.

Ketika dibina pada tahun 1885, ia dikenali sebagai Jam Tinggi kerana memiliki sebuah jam yang masih berperanan hingga ke hari ini. Apabila bangunan ini telah condong sedikit ke arah barat laut, ia mula dikenali dengan jolokan Menara Condong lantas menempah gelaran menara condong kedua di dunia selepas Menara Pisa di Itali.

Orang yang bertanggungjawab membinanya ialah seorang pemborong bernama Choong Cheong atau Ah Cheong yang mendapat inspirasi bangunan pagoda di negeri China.

Tujuan asal pembinaannya ialah bagi menempatkan sebuah tangki air. Air daripada tangki ini digunakan oleh penduduk setempat sekiranya berlaku kemarau atau sebagai keperluan memadam api sekiranya berlaku kebakaran kerana pada waktu itu bandar ini tidak mempunyai perkhidmatan bomba.

Sesuai dengan usianya menjangkau lebih 100 tahun, bangunan bersejarah ini pernah dilanda pelbagai kenangan diantaranya adalah pada tahun 1889 dan 1895 banjir besar telah berlaku sekaligus menenggelamkan bangunan tersebut, peristiwa ini adalah faktor yang menyebabkan bangunan tersebut condong dan menjadikannya lebih unik.

Lebih sekurun yang lampau tapak mercu tanda ini adalah sebuah terusan laluan diantara Durian Sebatang (tebing Sungai Bidor) ke Sungai Perak (berhampiran Balai Polis lama) yang dibina oleh Mak Intan dengan para pengikutnya, tapak Menara Condong ini dibina pada bekas terusan tersebut setelah ianya dikambus.

Mak Intan adalah seorang janda yang dikatakan mempunyai rupa paras yang cantik, beliau adalah seorang saudagar yang berasal dari Mandahiling, Sumatera. Beliau adalah peneroka yang membuka Teluk Intan disekitar awal abad ke 19. Pada waktu itu, kawasan yang diterokai oleh Mak Intan dikenali sebagai Pekan Mak Intan.

Berikutan penerokaan ini, ramailah orang seberang berketurunan Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan kemudian India-Bombay datang mendiami kawasan yang baru diterokai itu, kebanyakan daripada mereka adalah para pedagang barangan tradisi seperti rempah ratus, kain, inggu, kacip, parang dan sebagainya.

Menyedari hakikat inilah pembinaan laluan air dilaksanakan bagi memudahkan para pedagang membawa bahan dagangan ke Sungai Perak sekaligus membelah pekan Mak Intan menjadi sebuah pulau. Walaubagaimanapun setelah Inggeris mengambil alih kuasa pentadbiran pekan Melayu sekitar 1880-an mereka telah merancang membesarkan pekan tersebut dan langkah pembesaran ialah dengan menimbus terusan Mak Intan. Beberapa tahun kemudian, diatas penambakan tanah gambut itulah didirikan bangunan tersebut setinggi 85 kaki dari paras muka bumi.

Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini telah digunakan oleh askar-askar Jepun sebagai menara kawalan bagi memerhatikan kedatangan musuh dan ianya telah merosakkan sebahagian bangunan tersebut terutama di bahagian atasnya.

Bangunan tiga tingkat ini memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 15.5 kaki. Jika dilihat dari luar bangunan, ianya seolah-olah mempunyai tujuh tingkat.

Struktur bangunan ini diperbuat daripada batu dan kayu, setiap tingkat dilengkapi lorong jalan enam kaki lebar berdindingkan tembok rendah dua kaki yang dihiasi dengan batu berwarna hijau. Atap di bahagian atas dan tepinya menggunakan genting.

Tangki air terletak di aras tiga, ianya diperbuat daripada kepingan keluli setinggi 16 kaki dengan muatan 680 kaki padu. Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 43 kaki dan menguncup ke atas 27 kaki.

Menyedari akan keunikan dan sejarah yang tersendiri bangunan tersebut, pada tahun 1997 pihak Majlis Daerah Hilir Perak telah mengambil inisiatif untuk membina sebuah dataran disekeliling bangunan tersebut dan langkah-langkah pemuliharaan akan terus dijalankan bagi menjadikan ianya satu daya tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

This post was written by:

- who has written 606 posts on Informasi.


Contact the author

One Response to “Sejarah Menara Condong Teluk Intan”

  1. mohamad azli says:

    Kenapa di nama kan telok intan waktu sekrg???
    Kenpa x kekalkan nama mak intan???

    [Reply]

Trackbacks/Pingbacks


Leave a Reply

:D :-) :( :o 8O :? 8) :lol: :x :P :oops: :cry: :evil: :twisted: :roll: :wink: :!: :?: :idea: :arrow: :| :mrgreen:

Related Sites